Saturday, February 23, 2013

Orang Asing


Bismillah…

| Kau faham Bahasa Melayu? | Tak. | Jadinya mana mungkin kau faham kitab itu, kan? |
| Aku baca yang bertulis Arab. | Tapi itu tanpa penerangan. |
| Tak apa. Sekurangnya aku masih faham sedikit apa yang dibaca. |



Ketika aku sedang berdiri di antara rak setinggi bahu sambil membelek naskhah di kutubkhanah sebuah masjid, aku didatangi seorang pemuda berkumis nipis.

Sweater bertulis *tak ingat* Foundation warna putih, seluar Denim.

Tinggi: 180cm+; Berat 60kg+; Kurus tak terlalu cengkung; Raut iras Fatih Seferagic.

Okay, itu anggaran aku sahaja.

Siapa Fatih Seferagic?

Google.

Apa yang pasti, dia tua dari aku.

Dia perhati aku.

Dia dekati aku.

Dia pegang bahu aku.

Dia tegur aku.

Ah, dramatik!

Ini sebenarnya.

Dia masuk ke pustaka, membelek mencari.

Aku terus ke meja dan teruskan pembacaan.

Dia datang, dan duduk menghadap. Bersama buku ‘Just Say Yes’ dan beberapa yang lain.

Aku senyum.

Dia senyum.

Dahinya berkerut.

Aku yang hairan.

‘Boleh aku tengok buku itu?’ tanya dia.

Aku tunjuk buku yang aku pegang, ‘Ini?’

‘Anda Bertanya, Ustaz Azhar Idrus Menjawab.’

Hairan.

Aku tengok buku ditangan. Pastikan betul Bahasa Melayu.

Dia faham?

Mungkin hanya anggapan awal, tapi… Serius dia faham?

Oh, lupa cakap. Sebenarnya perbualan kami dalam Bahasa Inggeris.

‘Tak, bukan. Yang ini,’ sambil tangan kanan mengunjuk Kitab Ihya' Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali.

‘Ini, ambillah.’

Aku tolak perlahan kearahnya.

Masih aku hairan kerana kitab itu juga terjemah Melayu.

Diselak kitab itu.

Seminit.

Diselak lagi.

Lima minit.

Aku kena tanya!

‘Kau faham Bahasa Melayu?’

‘Tak.’

‘Jadinya mana mungkin kau faham kitab itu, kan?’

‘Aku baca yang bertulis Arab.’

Mungkin dia faham Bahasa Arab.

Bersangka baik.

Tapi, sedikit sahaja yang bertulisan bersimpul, selainnya huruf roman.

Masih tak puas hati.

‘Tapi itu tanpa penerangan.’

‘Tak apa. Sekurangnya aku masih faham sedikit apa yang dibaca.’

Masih belum puas, tapi aku biarkan sahaja. Malas pula mahu memula bahas.

Ah, aku tak tahan.

Bangun. Bergerak ke rak belakang.

Mencari.

Terjumpa.

‘Revival of Religious Sciences. Abridged Version.’

Letak sebelah dia.

‘Mungkin lagi senang kalau kita faham semua apa yang dibaca.’

Duduk.

‘Nama aku Zulhelmy. Panggil aku ‘Ku’ sahaja’

‘Oh. Aku Muradi. Panggil aku Muradi sahaja.’

Sentap.

Senyum.

Sunyi.

Seminit.

Lima minit.

‘Kau tahu, kitab ini antara kitab kupasan teologi yang terbaik pada zamannya. Dia berjaya menyatukan pendapat ortodoks dan sufi yang tidak pernah setuju antara sama lain.’

Terus aku tutup buku yang aku sedang baca. Memandang dia.

Dia lalu menyambung.

‘Aku percaya ia punya pengaruh besar dalam dunia Islam. Ya, walau sufi itu sesetengah kita menganggap sebagai terseleweng, dan ortodoks itu terlampau menekan, tapi dia berhasil murnikan keduanya, seimbang dengan keperluan dunia dan akhirat.’

Sunyi.

Dahi berkerut. Seakan menunggu balasan dari aku.

‘Ya, aku percaya semua bahan yang baik, terpelihara maksudnya untuk jelas pada tiap zaman. Tidak luput. Tapi maaf, aku tak berani bicara panjang kerana aku belum khatam kitabnya.’

‘Dan aku belum cukup kenal dia.’

Perlahan saja tuturku.

Malu.

‘Apa nak dimalukan. Al-Quran yang sudah lebih empat belas abad masih belum terungkai, inikan pula kitab bicara mengenai sebahagian kecil darinya.’

Bertambah malu aku.

‘Ambil masa, muda itu tak lama.’

Bertambah-tambah malu!

Banyak yang kami bualkan.

Dia tinggal di Ireland. Lahir di Itali. Asal di Republik Czech.

Atau mungkin tinggal di Ireland. Lahir di Republik Czech. Asal di Itali.

*Ini aku tak berapa pasti, tapi antaranya tiga negara tersebut, aku pasti.*

Bersama bapa saudara dari Australia, dan melawat seorang lagi bapa saudara di UIA.

Dua minggu. Ambil masa kembara katanya.

Banyak yang dia tahu.

Banyak yang aku tak tahu.

Dan ya, dia berusia dari aku. Enam tahun.

Dia bangun.

‘Pesanku, bergurulah untuk kitab ini. Kau takkan faham jika hanya membacanya sendiri. Ya, mungkin huraian tiap bahagian itu menarik, tapi interpretasi ilmiah penuh falsafah tidak hanya perlu dilihat segi logik dan akademik sahaja. Orang muda, kita mudah terpedaya dengan dunia. Ia yang benar, ia juga yang dusta.’

Tarik nafas.

‘Pesanku, bergurulah untuk kitab ini.’

Terharu.

Hampir menangis.

Tahan. Bajet macho.

Dia tersenyum.

Kami berjabat.

Kami berpelukan.

‘Sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu, saudaraku.’

Tersenyum, lalu beredar.

Selepas dia hilang dari pandangan, aku terfikir.

Kenapa dia ambil kitab dari bahasa yang tidak difahaminya, sedangkan ada sahaja dari bahasa Arab dan Inggeris di rak.

Mungkin dia hanya mahu berbual.

Bersangka baik.

al-Hujurat, 49:12.

Dan bibirnya tak pernah lekang senyum.

Aku yakin sesuatu.

Harus mula berguru.


Assalamu’alaikum wbt.




Naskhah akhbar percuma di tapak Pasar Malam Putrajaya. Walau rasa bermotif politik, biarlah.

No comments:

Post a Comment