Tuesday, February 26, 2013

Ingatkan Aku


Bismillah…

| Manusia, mengeluhnya bukan kerana tak sempurna, tapi kerana terlalu selesa. |
| Terlalu selesa hingga tak bisa kurang walau secubit. |
| Bila semua bicara yang sama, bodohlah yang tidak mendengar. |



Cerita tanpa konsep.

Aku rasa, itu adalah keistimewaan seorang penulis. Ya, semua mampu jadi penulis apa!

Mungkin tanpa konsep itu agak kurang tepat.

Tanpa kewajipan, mungkin lebih sesuai.

Atau mungkin itu pun kurang tepat.

Bagaimana dengan mereka yang bergantung padanya?

Mungkin tidak bagi aku.

Mungkinlah!

Tapi aku pun rasa wajib.

Wajib bagi aku menulis. Wajib bagi aku menasihat. Wajib bagi aku menegur.

Ya, wajib lah!

Walau tanpa konsep.

Rasa perlu untuk menjenguk dalam hidup orang.

Membetul mana biasa. Membiasa mana betul.

Oh, ini entri sarkastik, kalau kalian faham.

Sebuah entri satira.

Bukan hanya pada kalian, juga pada aku.

Tak faham?

Okay, aku jelaskan.

Untuk mereka yang sibuk bercakap pasal lain.

Apa kata ambil masa.

Sibuk bercakap pasal sendiri dulu.

Cakap pasal diri itu bukan diskriminasi.

Prejudis, sikit.

Narsisis, mungkin.

Atau berat sebelah. Kisahkan!

Sebab terkadang kita terlupa.

Kita lebih penting dari yang lain.

Aku bercakap cara mudah.

Mudah kan?

Ah, manusia.

Mengeluh.

Itu tabiat manusia.

Dan ini pendapat aku.

Manusia, mengeluhnya bukan kerana tak sempurna, tapi kerana terlalu selesa. Selesa dengan hidupnya, selesa dengan duduknya, selesa dengan sebutnya. Terlalu selesa hingga tak bisa kurang walau secubit.

Manja diri.

Termasuk aku.

Dan bila terasa berat beban terlebih pikul, tika itulah mula terdengar segala macam sumpah seranah maki hamun caci cerca.

Hah, terlalu mudah aku merumuskan secara umum.

Lihat! Kau mengeluh. Mengeluh sambil mungkin berkata, ‘Mudah dia berkata demikian. Lagipun, bukan fizikalnya yang berkata. Beranilah dia disini.’

Ya, aku adalah manifestasi segala yang aku katakan. Tak perlu aku mencari contoh lain. Diri aku ada.

Tapi kalau kau terasa, silakan. Aku merujuk segala dari aku, terpulang pada kalian untuk berkongsi rasa.

Bila semua bicara yang sama, bodohlah yang tidak mendengar.

Terkadang kita terlupa itu.


Assalamu’alaikum.



Layan UFM sambil mesyuarat. Eh, bukan aku, tapi mereka! Aku, layan internet je.

Saturday, February 23, 2013

Orang Asing


Bismillah…

| Kau faham Bahasa Melayu? | Tak. | Jadinya mana mungkin kau faham kitab itu, kan? |
| Aku baca yang bertulis Arab. | Tapi itu tanpa penerangan. |
| Tak apa. Sekurangnya aku masih faham sedikit apa yang dibaca. |



Ketika aku sedang berdiri di antara rak setinggi bahu sambil membelek naskhah di kutubkhanah sebuah masjid, aku didatangi seorang pemuda berkumis nipis.

Sweater bertulis *tak ingat* Foundation warna putih, seluar Denim.

Tinggi: 180cm+; Berat 60kg+; Kurus tak terlalu cengkung; Raut iras Fatih Seferagic.

Okay, itu anggaran aku sahaja.

Siapa Fatih Seferagic?

Google.

Apa yang pasti, dia tua dari aku.

Dia perhati aku.

Dia dekati aku.

Dia pegang bahu aku.

Dia tegur aku.

Ah, dramatik!

Ini sebenarnya.

Dia masuk ke pustaka, membelek mencari.

Aku terus ke meja dan teruskan pembacaan.

Dia datang, dan duduk menghadap. Bersama buku ‘Just Say Yes’ dan beberapa yang lain.

Aku senyum.

Dia senyum.

Dahinya berkerut.

Aku yang hairan.

‘Boleh aku tengok buku itu?’ tanya dia.

Aku tunjuk buku yang aku pegang, ‘Ini?’

‘Anda Bertanya, Ustaz Azhar Idrus Menjawab.’

Hairan.

Aku tengok buku ditangan. Pastikan betul Bahasa Melayu.

Dia faham?

Mungkin hanya anggapan awal, tapi… Serius dia faham?

Oh, lupa cakap. Sebenarnya perbualan kami dalam Bahasa Inggeris.

‘Tak, bukan. Yang ini,’ sambil tangan kanan mengunjuk Kitab Ihya' Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali.

‘Ini, ambillah.’

Aku tolak perlahan kearahnya.

Masih aku hairan kerana kitab itu juga terjemah Melayu.

Diselak kitab itu.

Seminit.

Diselak lagi.

Lima minit.

Aku kena tanya!

‘Kau faham Bahasa Melayu?’

‘Tak.’

‘Jadinya mana mungkin kau faham kitab itu, kan?’

‘Aku baca yang bertulis Arab.’

Mungkin dia faham Bahasa Arab.

Bersangka baik.

Tapi, sedikit sahaja yang bertulisan bersimpul, selainnya huruf roman.

Masih tak puas hati.

‘Tapi itu tanpa penerangan.’

‘Tak apa. Sekurangnya aku masih faham sedikit apa yang dibaca.’

Masih belum puas, tapi aku biarkan sahaja. Malas pula mahu memula bahas.

Ah, aku tak tahan.

Bangun. Bergerak ke rak belakang.

Mencari.

Terjumpa.

‘Revival of Religious Sciences. Abridged Version.’

Letak sebelah dia.

‘Mungkin lagi senang kalau kita faham semua apa yang dibaca.’

Duduk.

‘Nama aku Zulhelmy. Panggil aku ‘Ku’ sahaja’

‘Oh. Aku Muradi. Panggil aku Muradi sahaja.’

Sentap.

Senyum.

Sunyi.

Seminit.

Lima minit.

‘Kau tahu, kitab ini antara kitab kupasan teologi yang terbaik pada zamannya. Dia berjaya menyatukan pendapat ortodoks dan sufi yang tidak pernah setuju antara sama lain.’

Terus aku tutup buku yang aku sedang baca. Memandang dia.

Dia lalu menyambung.

‘Aku percaya ia punya pengaruh besar dalam dunia Islam. Ya, walau sufi itu sesetengah kita menganggap sebagai terseleweng, dan ortodoks itu terlampau menekan, tapi dia berhasil murnikan keduanya, seimbang dengan keperluan dunia dan akhirat.’

Sunyi.

Dahi berkerut. Seakan menunggu balasan dari aku.

‘Ya, aku percaya semua bahan yang baik, terpelihara maksudnya untuk jelas pada tiap zaman. Tidak luput. Tapi maaf, aku tak berani bicara panjang kerana aku belum khatam kitabnya.’

‘Dan aku belum cukup kenal dia.’

Perlahan saja tuturku.

Malu.

‘Apa nak dimalukan. Al-Quran yang sudah lebih empat belas abad masih belum terungkai, inikan pula kitab bicara mengenai sebahagian kecil darinya.’

Bertambah malu aku.

‘Ambil masa, muda itu tak lama.’

Bertambah-tambah malu!

Banyak yang kami bualkan.

Dia tinggal di Ireland. Lahir di Itali. Asal di Republik Czech.

Atau mungkin tinggal di Ireland. Lahir di Republik Czech. Asal di Itali.

*Ini aku tak berapa pasti, tapi antaranya tiga negara tersebut, aku pasti.*

Bersama bapa saudara dari Australia, dan melawat seorang lagi bapa saudara di UIA.

Dua minggu. Ambil masa kembara katanya.

Banyak yang dia tahu.

Banyak yang aku tak tahu.

Dan ya, dia berusia dari aku. Enam tahun.

Dia bangun.

‘Pesanku, bergurulah untuk kitab ini. Kau takkan faham jika hanya membacanya sendiri. Ya, mungkin huraian tiap bahagian itu menarik, tapi interpretasi ilmiah penuh falsafah tidak hanya perlu dilihat segi logik dan akademik sahaja. Orang muda, kita mudah terpedaya dengan dunia. Ia yang benar, ia juga yang dusta.’

Tarik nafas.

‘Pesanku, bergurulah untuk kitab ini.’

Terharu.

Hampir menangis.

Tahan. Bajet macho.

Dia tersenyum.

Kami berjabat.

Kami berpelukan.

‘Sejahtera dan rahmat Allah ke atas kamu, saudaraku.’

Tersenyum, lalu beredar.

Selepas dia hilang dari pandangan, aku terfikir.

Kenapa dia ambil kitab dari bahasa yang tidak difahaminya, sedangkan ada sahaja dari bahasa Arab dan Inggeris di rak.

Mungkin dia hanya mahu berbual.

Bersangka baik.

al-Hujurat, 49:12.

Dan bibirnya tak pernah lekang senyum.

Aku yakin sesuatu.

Harus mula berguru.


Assalamu’alaikum wbt.




Naskhah akhbar percuma di tapak Pasar Malam Putrajaya. Walau rasa bermotif politik, biarlah.

Wednesday, February 20, 2013

Anugerah Kembara (Versi bukan AIM)


Bismillah…

| Adillah pada diri sendiri. | Berikan haknya. | Jika mahu adil pada yang lain, adillah dulu pada diri sendiri. |
| Jangan alpa, jangan abai, jangan sisih diri untuk yang lain. | Itu bukan berkorban, itu bodoh. |



Sekarang lagi dalam misi membawa diri.

Secara harfiahnya, membawa diri pergi mengisi sebahagian yang kurang dari diri ini. Secara harfiahnya cuba mencari untuk menerangkan dan mentakrifkan diri sendiri dan bukan suatu yang mungkin diwakili. Secara harfiah mencari yang hakiki, bukan rujukan diri atau sebarang pemboleh ubah.

Secara harfiahnya mencari maknanya yang tersirat dari tersurat yang sukar difahami secara mudah dan jelas.

Aku mencari pemalar.

Ya, pemalar.

Pemalar yang tak dimanipulasi.

Bertindak balas.

Sebab aku tahu, aku tak adil. Dalam bertanya pada kalian, aku lupa bertanya pada diri sendiri. Dalam meletakkan sebab dan punca pada kalian, aku lupa masukkan diri sendiri.

Refleks. Pantulan cermin.

Ketika soal aku tujukan pada sendiri, aku dapat lihat pantulan kalian. Terdiam aku membisu, lama aku membatu mencuba mencari alasan untuk aku melepaskan diri.

Fitrah. Meletakkan kesalahan pada orang itu mudah. Meletakkan diri setanding malaikat pun mudah.

Ah, betapa aku terlupa mudahnya aku berlaku sedemikian. Betapa aku terlupa mudahnya aku berperangai lain kerana merasakan aku lain dan kalian juga lain.

Kerana betapa aku terlupa mungkin sahaja aku sama seperti sebahagian dari kamu. Kerana betapa selama ini aku berpura-pura mengenali diri sendiri, berpura-pura mengenali orang lain. Sebab soal itu rumit sekali.

Dan dalam kembara itu kutemukan sebahagian dari jiwaku yang meringan hingga senget timbangannya.

Bahawa aku tak pernah kosong. Aku sentiasa terisi, Cuma bahagian yang terisi itu terhijab oleh rasa aku sendiri yang tidak pernah mencuba untuk melihat. Lalu aku berlaku zalim pada setiapnya. Kerana menghakimi tanpa aku mengetahui.

Berat sebelah.

Dan dalam kembara itu membuka mata hati aku melihat ke ruang jiwa aku yang selama ini kusangka kosong.

Lalu dibawa bersama cita lemas dalam pelukan rasa yang membuak.

Maaf. Ada perkara yang aku belum bersedia. Biarkan. Biarkan aku tersenyum. Walau palsu.

Biarkan.

Dan dalam kembara itu juga membawa aku pada beberapa insan yang aku tak pernah tahu wujudnya. Yang membuka mata hati aku melihat kedalam jiwa mereka. Kerana pengalaman seseorang itu hanya boleh ditafsir andai kita turut mengalaminya.

Dan akhirnya, menghakimi orang lain itu bukanlah salah, Cuma biarlah bertempat.

Terima kasih.

Dan dalam kembara itu juga aku terkesan dengan murahnya hidup kita. Murah, bukan pada material. Murah pada nilai. Bukan bermaksud boleh dibeli dengan harta, tetapi betapa mudah diberi.

Tidak. Ini bukan negatif. Bahkan positif.

Mereka yang asing, amat murah menghulur. Terasa keluarga. Malah lebih keluarga dari yang sedia.

Lebih keluarga.

Dan dalam kembara itu juga aku belajar. Biar pentingkan diri sendiri. Bukan untuk kita, tapi untuk yang lain. Penuhkan kocek sendiri, lengkapkan diri sendiri, isikan perut sendiri, pandang hanya diri sendiri. Itu maksud adil.

Mana mungkin adil?

Adillah pada diri sendiri. Berikan haknya. Jika mahu adil pada yang lain, adillah dulu pada diri sendiri. Jangan alpa, jangan abai, jangan sisih diri untuk yang lain. Itu bukan berkorban, itu bodoh.

Tersentak.

Mana mungkin bodoh?

Kerana kau ada hak yang perlu ditunaikan. Bagaimana mahu adil pada orang andai pada sendiri zalim?

Skeptik.

Biarkan mereka. Mereka ada hak, dan kita ada hak juga. Mereka melihat melalui mata mereka, proses dengan minda mereka. Kita melihat dengan mata kita, rasa dengan hati dan naluri kita. Takkan sama.

Dan aku tahu, tak mungkin aku dapat puaskan mereka. Diri sendiri pun belum mampu aku puaskan.

Ah, persetankan.

Aku rasa aku jumpa pemalar itu. Walau rasanya tak berapa tetap.

Maaf, aku tak pasti.

Assalamu’alaikum wbt.




‘Koc Wanita’ hanya untuk wanita sahaja. *pandangan serong*

Monday, February 18, 2013

Jawapan Aku


Bismillah…

| Kenapa ‘Pengheningan Cipta’? | Kerana ini tafakur. | Kenapa tak ‘tafakur’? |
| Kerana aku rasa ‘pengheningan cipta’ itu awesome! |


Seorang teman hubungi aku lewat petang semalam. Melalui merpati dititipkan soal, ‘Kenapa Pengheningan Cipta?’

Langsung tanpa menjawab soal, aku bertanya kembali, ‘Lama tak dengan khabar.’

Cekap sahaja defensifnya, ‘Sama sahaja bicaranya.’

Ya, terkesan dengan balasan, terus kubiarkan sahaja. Barangkali penat menunggu lalu terus sahaja dia menyambung bicara.

‘Kerana aku sedikit faham entri itu, langsung aku tidak berkomentar disitu. Mana tahu, takut ada yang tersinggung.’

Tersentak. Tersinggung sedikit, lagi.

‘Jadi, kenapa ‘Pengheningan Cipta?’’

‘Kerana itu tafakur.’

‘Tafakur? Bukankah ini lebih kepada… muhasabah?’

‘Kerana tafakur itu pusat segala tumpu. Perbuatan, perhatian, fikiran. Taakul. Lebih khusyuk, bagiku.’

‘Mungkin sahaja spekulatif.’

‘Muhasabah, apa yang kau tahu?’ Aku cuba menduga.

‘Introspeksi?’

‘Mungkin. Mungkin tidak. Berkisah diri sendiri, adilkah? Fikiran, idea, perasaan. Kita sahaja. Adilkah?’

‘Untuk keyakinan diri?’

‘Masih, adilkah? Pertimbangan akal dan logik, itu sifat manusia.’

‘Jadi, keduanya mencongak rasa dalam diri. Adilkah? Kerana masih berkisah soal diri.’ Soal dia kembali.

‘Tafakur itu bukan untuk aku, tapi yang lain. Aku keluarkan aku yang ini, dan aku cuba menjadi mereka. Aku cuba, sekurang-kurangnya, walaupun mungkin gagal, masih aku yang ini.

Khali.

Ada hela panjang, terus aku potong.

Muhasabah itu untuk aku, bukan yang lain. Aku keluarkan mereka, dan aku masukkan aku yang ini. Aku cuba, sekurang-kurangnya, walaupun mungkin gagal, masih aku yang ini.’

‘Tapi kenapa mesti ‘Pengheningan Cipta’? Boleh saja guna ‘tafakur.’ Kenapa tidak?’

‘Kerana aku rasa ‘Pengheningan Cipta’ itu awesome!’

Tamat disitu.

Buka tajuk baru.

Percaya takkan mungkin menang andai bertelagahnya dengan aku. Keras kepala, itu aku akui.

Maaf.

Kerana aku takkan minta maaf.

Assalamu’alaikum wbt.




Terlupa orang lain punya pendapat sendiri. Cuba dengar dulu. Biar berbeza, asal tak pak turut.

Saturday, February 16, 2013

Baru Satu: Pengheningan Cipta

Bismillah...


| terlampau suka, terlalu percaya. alpa. | senyum; sebab syukur itu mahal. |
| tawadu'; asal redha itu sukar. | jujur; kerana ikhlas itu payah. |




Selepas beberapa lama terbiar, akhirnya terdetik di hati mencoretkan sedikit rasa disini. Sibuk mewarna hidup, melorek beberapa rona dan corak cerah, menenun meragi mengadun ragam di antara kaki lima hidup.

Baru satu. Entah ini satu yang keberapa.

Tak kisah.

Ah, betapa murahnya aku letak harga cerita aku ini!

Sengaja aku padam entri lampau. Biar ini jadi garis mula yang baru.

Selepas lebih setahun.

Biarlah. Ada aku kisah orang singgah, kerana itu bukan tujuan aku bercerita. Aku bercerita untuk kepuasan diri. Asal aku tahu aku gembira. Lagipula, penulis picisan seperti aku, bukanlah layak mengarang naskhah yang diangkat sebagai sebuah epik, roman kodian barangkali mungkin boleh.

Persetankan mereka semua. Mereka tak mengerti.

Maaf.

Bukan marah. Cuma kenyataannya, mereka memang tak mengerti. Kerana aku tertutup untuk aku. Untuk aku sahaja.

Maaf.

Terkadang terkesan di hati. Tipulah kalau setiap masa keras persis batu. Lagikan batu terkikir air. Tapi kita batu berbeza. Kau mungkin batu kerikil. Dan kau, mungkin kau pula batu sungai.

Maaf, lagi.

Kita berbeza. Sengaja aku tekankan.

Cuba tanya dulu: apa aku dapat terima? ‘Aku’ maksudnya aku, bukan kalian. Kerna mungkin kalian dapat terima. Terima kasih atas ingatan. Tapi terkadang menyinggung juga. Ya, kita berbeza.

Cuba tanya dulu: apa aku tak pernah terfikirkan itu? ‘Itu’ apa sahaja yang kalian mahu aku fikirkan. Kerna mungkin aku tak faham. Atau mungkin aku salah faham. Kalian ada cara kalian, aku juga. Ya, kita berbeza.

Cuba tanya dulu: apa aku jujur bila aku kata baik-baik semuanya? Maaf. Sudah terbiasa menjadi Melayu, maka semuanya harus berlapik. Cara aku norma aku. Mungkin destruktif. Mungkin. Ya, kita berbeza.

Separuh jiwaku pergi.

Sampah!

Seluruh jiwaku masih ada. Cuma berat timbangan berkurang aku rasa, mungkin. Jiwa yang sebahagian penuh, belum mampu aku penuhkan. Menjadi alasan kecewa seorang itu, tak pernah seadanya untuk aku. Menjadi alasan jatuhnya seorang itu, tak pernah samanya bagi aku. Sebab lagi, kita berbeza.

Faham atau tak, buat-buat faham.

Maaf.

Kalau aku tak terima sekarang, mungkin aku perlu masa. Kalau aku tak faham sekarang, mungkin aku perlu masa. Kalau aku tak dengar sekarang, mungkin aku perlu masa. Masa untuk aku suap satu-satu, kunyah satu-satu, telan satu-satu, hadam satu-satu, dan keluarkan satu-satu. Hasilnya, mungkin aku perlu masa.

Aku mungkin kolot, jumud, cetek, tradisional, kekampungan, mundur, kuno, konservatif, purba, ortodoks, kaku, beku, lama. Mungkin. Ya, kita berbeza.

Sampai detik ini, masih tak mampu dimengerti. Ada beberapa perkara tak terjelaskan oleh ‘Maaf,’ ‘Terima Kasih’ dan ‘Tolong.’ Ya, mungkin sahaja lagi, kerana kita berbeza.

Assalamu'alaikum wbt.




Kelakar. Apabila disuruh memilih antara agar-agar atau jell-O. Duanya gelatin dessert.