Friday, April 19, 2013

Jumaat



Bismillah

| kepada siapa lagi aku harus memohon yang kemudian memberi aku? |
| kepada siapa lagi aku harus berdoa yang kemudian memperkenankan doaku? |
| kepada siapa lagi aku harus merendahkan diri yang kemudian menyayangi aku? |



Jumaat.

Seperti selalu.

Berbaju Melayu lengkap. Bersampin songket tenun bersulam emas. Bersongkok baldu hitam.

Terserlah.

Senyum terukir bibir merah. Masih anggun walau tidak berlesung pipit.

Tak sepertinya sama dengan yang lain.

Sepasang mata menawan. Hidung cantik terletak.

Galak ligat mencari.

Berkulit cerah merah. Bersih bercukur.

Janggut sejemput sunnah. Dirapi kemas.

Manis berkaca mata.

Ungu itu. Bergerak sesusuk memanjat anak tangga.

Satu. Dengan sopan.

Dua. Dengan adab.

Tiga. Dengan tertib.

Menitis air sembahyang dari muka. Membentuk tompok di poket sebelah kanan.

Lalu lepas. Attar menusuk tiap hidu. Mudah pilihannya.

Usai solat sunat, langsung duduk menunggu masa.

Duduknya bukan diam. Duduknya penuh zikir. Duduknya penuh puji Yang Esa.

Serlah dari yang lain. Kerna pakainya pada Jumaat, adalah pakainya sunnah nabi.

Berhias untuk Dia. Berhias kerna Dia. Berhias bertemu Dia.

Azan dilaung.

Khutbah yang satu.

‘Pujian untuk Dia.’

‘Berkatilah Baginda.’

‘Bertaqwalah pada Dia!’

Doa.

*Kita tak bisa menerka isi doa, kerana terlalu personal untuknya.*

Khutbah yang dua.

Memberi pesan, patuh pada Yang Satu.

Lalu didoa pada saudara lain.

Berdiri bertemu Dia, saf hadapan, rapat belakang imam.

Tiap takbir, ruku', sujud dan duduk adalah ikrar.

Tiap ucap, gerak, niat adalah janji.

Harmoni.

Lantas bangkit mencari ruang sedikit usai salam.

Niatnya, solat sunat.

Sujud terakhir, abdi diri pada Dia.

Mohon hajat, mohon sungguh-sungguh.

Berdoa seluruh hati, seluruh jiwa.

Jasad berpadu roh menyerah pada Dia.

Moga dipermudah jalan.

‘Wahai Pemegang Hati, wahai Penilai Hati, wahai Pemilik Hati.’

‘Ilahi, Bagaimana aku berdoa kepada-Mu sementara aku adalah aku, bagaimana aku putus asa dari-Mu sementara Engkau adalah Engkau.’

‘Ilahi, jika aku tidak memohon kepada-Mu yang kemudian memberi aku, kepada siapa lagi aku harus memohon yang kemudian memberi aku?’

‘Ilahi, jika aku tidak berdoa kepada-Mu yang kemudian mengijabah doaku, kepada siapa lagi aku harus berdoa yang kemudian memperkenankan doaku?’

‘Ilahi, jika aku tidak merendahkan diri kepada-Mu yang kemudian menyayangi aku, kepada siapa lagi aku harus merendahkan diri yang kemudian menyayangi aku?’

‘Ilahi, sebagaimana Engkau telah membelah lautan untuk Musa dan Kau selamatkan ia, aku memohon kepada-Mu selawatkan kepada Muhammad dan keluarga, selamatkan aku dari apa yang aku takutkan, dan bahagiakan aku dengan kebahagiaan yang segera dan tidak tertunda-tunda dengan kurnia dan rahmat-Mu wahai Yang Maha Pengasih dari segala yang mengasihi.’



doa hujung diolah dari sini.



Assalamu'alaikum wbt.



Percubaan pertama. Sajak imejan, tema Islami.

1 comment:

  1. nice~ nanti buatlah post2 ala2 mcm ni lagi, barulah aku tak rasa lost & blank membaca blog anda, wahaha XD

    p/s : masukkan nama kite kat kredit ye,hehe XD

    ReplyDelete